Selamat Hari Raya Aidiladha... Maaf Zahir dan Batin... Ikhlas dari saya...
Sejarah Aidiladha
Korban disyariatkan dalam Islam pada tahun kedua hijrah. Ianya mempunyai tujuan tertentu bagi mengingati pengorbanan teragong Nabi Ibrahim Alaihissalam terhadap satu-satu puteranya Nabi Ismail Alaihissalam, baginda bermimpi, bahawa Allah Subhanahu Wataala memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Ismail, yang pada waktu itu sudah berusia 13 tahun dan telah dapat membantu dalam pekerjaan dan perjuangan.
Sebagai manusia biasa, alangkah beratnya bagi Nabi Ibrahim Alaihissalam untuk mengorbankan jiwa belahan hatinya sendiri, lebih-lebih lagi, setelah berusia lebih daripada 60 tahun, barulah baginda mendapat seorang anak laki-laki, hasil perkahwinan dengan Siti Hajar.
Nabi Ibrahim menyampaikan kepada puteranya, Ismail mengenai mimpinya itu, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran:-
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ash-Shaaffat, ayat 102:-
Tafsirnya:
Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu.
Sebagai seorang putera yang menumpukan ketaatan kepada Allah Taala, maka Nabi Ismail memberikan jawapan yang tidak bergoncang.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ash-Shaaffat, ayat 102:-
Tafsirnya:
Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepada Mu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang-orang yang sabar.
Dalam suasana yang mengharukan yang diliputi oleh semangat iman, Nabi Ismail meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah Ilahi iaitu menyembelih lehernya. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya, kemudian pisau yang tajam itu mulailah menyembelih di atas leher anak yang tabah itu.
Pada saat yang mengharukan itu Allah Taala menunjukkan kekuasaannya, melakukan apa yang dikehendakinya. Putera yang disembelih pada waktu itu bukanlah Nabi Ismail, tetapi seekor kibasy (kambing biri-biri) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Dengan demikian, Nabi Ismail Alaihissalam terlepas dari ragutan maut.
Sejak waktu itulah Nabi Ibrahim melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan secara tertib dan teratur. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam meneruskan ibadat korban menjadi satu amalan Islam yang kita laksanakan setiap hari raya Adha atau hari-hari Tasyrik dalam Al-Quran Al-Karim Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Kautsar, ayat 1 - 2:-
Tasfirnya:
Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).
Hadith dari Aisyah Radiallahu-Anha yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Termizi dan Al-Imam Al-Hakim, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban.
No comments:
Post a Comment