Monday 1 November 2010

Duti Eksais Rokok, Tembakau Dipinda

PADA menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kewangan sukacita memaklumkan bahawa baginda telah memperkenankan pindaan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau melalui penguatkuasaan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan), 2010 [Customs Import Duties (Amendment) Order, 2010] dan Perintah Duti Eksais (Pindaan), 2010 [Excise Duties (Amendment) Order, 2010].

Perintah-perintah tersebut akan berkuat kuasa mulai hari Isnin, 1 November 2010 dan melibatkan perubahan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk tembakau seperti mana Jadual Kedua Pindaan Perintah tersebut (Lampiran 1) dan juga melibatkan penghapusan keistimewaan konsesi bebas duti yang diberikan dalam perkara-perkara tertentu.

Tujuan utama pindaan ini adalah sebagai usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama dalam membantu mengurangkan risiko penyakit kronik yang berkaitan dengan merokok di negara ini.

Oleh itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perintah Kastam 2006, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja akan mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian ke atas sebarang kesalahan yang melanggar kehendak-kehendak Pindaan baru tersebut dan syarat-syarat yang dikenakan seperti kegagalan mengikrarkan kemasukan komoditi-komoditi tersebut di negara ini dan sebagainya.

Keterangan ringkas mengenai Perintah Pindaan tersebut adalah seperti berikut.

1. Perintah Duti Eksais (Pindaan), 2010-10-30
Meminda kadar cukai eksais bagi rokok seperti berikut :

i. Bagi komoditi rokok akan dikenakan cukai sebanyak BND0.25 setiap batang rokok berbanding BND60/kg yang dikenakan pada masa ini; (pada masa ini, kadar duti eksais adalah dikenakan dengan kadar mengikut berat timbangan setiap kilogram)

ii. Bagi 'unmanufactured tobacco and tobacco refuse' kadar duti akan dinaikan daripada BND30/kg kepada BND60/kg;

iii. Bagi lain-lain 'manufactured Tobacco' kadar duti akan dinaikan daripada BND35/kg (manufactured tobacco blended for cigarettes making - not finished products) dan BND60/kg (blended for retail sale) kepada BND120/kg dan

iv. Bagi 'cigar, cheroots and cigarillos' kadar duti akan dinaikkan daripada BND60/kg kepada BND120/kg dan daripada BND100/kg kepada BND200/kg.

2. Jadual Kedua, Perintah Duti Import Kastam (Pindaan), 2010-10-30.

Meniadakan keistimewaan konsesi bebas duti kepada penumpang-penumpang yang membawa rokok yang tiba di negara ini yang berumur 17 tahun ke atas yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan pintu-pintu masuk ke negara ini yang dibebaskan daripada membayar duti bagi jumlah rokok yang dibawa tidak melebihi 200 batang.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...