Wednesday, 5 August 2009

Selamat Menyambut Nisfu Syaaban


Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit & diganti dengan buku catatan yang baru. Selamat Menyambut Nisfu Syaaban.

Berkenaan bulan Syaaban

SYAABAN adalah salah satu bulan Hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Syaaban dianggap pintu gerbang Ramadan kerana pada bulan itu umat Islam masih boleh makan dan minum pada siang hari sebelum mereka menyambut kedatangan bulan puasa yang penuh berkat.

Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.

Pada bulan Syaaban, ada satu malam sangat dinantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.

Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban saja, tidak pada hari lain dalam bulan lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing dan bagi Muslim bertaqwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan itu.

Muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.

Antara Nisfu Syaaban dan Lailatul Qadr

Jika kita lihat, ramai orang-orang Melayu kita berebut-rebut memenuhi masjid dan surau semata-mata untuk merebut fadhilat malam Nisfu Syaaban. Sememangnya terdapat juga himpunan hadis menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Tetapi kebanyakan daripada hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi S.A.W.

Sedangkan dalam masa yang sama berapa kerat sangatkah yang berebut-rebut untuk mencari malam Lailatul Qadr. Sedangkan dalil berkenaan kelebihan malam Lailatul Qadr sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan juga disebut di dalam hadis-hadis yang soheh.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang lebih baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

Bacaan Yasin sebanyak 3 kali pada malam Nisfu Syaaban

Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti :
Pada bacaan Yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur.
Pada bacaan Yasin kedua, diniatkan memohon dijauhkan bala.
Pada bacaan Yasin ketiga, diniatkan memohon murah rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara.

Saya perhatikan ada disesetengah tempat pada malam Lailatul Qadr, mereka membaca Surah Yasin dengan begitu pantas sehingga mengabaikan hukum-hukum tajwid. Ini berlaku semata-mata ingin mengejar bilangan 3 kali bacaan. Sebetulnya kita perlu membaca al-Quraan dengan cara yang betul dan bertepatan dengan bacaan sebagaimana ianya diturunkan oleh Allah Taala. Jadi manakah pilihan terbaik; membaca Yasin 1 kali dengan bertajwid, ataupun membaca surah Yasin sebanyak 3 kali dengan mengabaikan tajwid?

Allah Taala berfirman di dalam Al-Quraan :

“Dan bacalah Al-Quran dengan penuh tartil (bertajwid)”. (QS 73 : 4)

Manakala hukum mempelajari ilmu tajwid adalah Fardhu Kifayah dimana jika ianya dipelajari oleh seorang maka semua tidak berdosa. Hukum membaca al-Quraan dengan bertajwid pula adalah Fardhu ‘Ain ke atas semua orang islam.

Doa antara bacaan Yasin malam Nisfu Syaaban

Sepertimana yang biasa diamalkan oleh penduduk tempatan:
Doa pada bacaan Yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur.
Doa pada bacaan Yasin kedua, diniatkan memohon dijauhkan bala.
Doa pada bacaan Yasin ketiga, diniatkan memohon murah rezeki yang halal.

Sebenarnya kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah S.W.T pada malam Nisfu Syaaban untuk kebaikan kita di dunia dan di akhirat. Tidak hanya tertakluk pada tiga doa di atas sahaja. Apa-apa sahaja doa untuk kebaikan sepertimana firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:

Firman Allah di dalam al-Quran:
“Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”
(Surah al-Mu’min, 40: 60)

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah, 2: 186)

Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Via: IzoBlog

P/S: Walau tiada Hadis Sahih membicarakan tentang malam Nisfu Syaaban ini, tapi kita ambil lah mana yang baik... semoga amalan kita akan diterima oleh Allah s.w.t. Dan akhir sekali, minta maaf andai nya saya ada membuat silap & salah dan betul kan lah saya jika terdapat kekhilafan...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...