Wednesday, 25 January 2012

Hukum Berpacar/Berinai


Q: Assalamualaikum PDI. Mohon terangkan apa hukum berpacar ( berinai) seperti lazimnya jika ada majlis perkahwinan?

A: Wa'alaikumsalam...

Sebelum kedatangan Islam, berinai atau 'bapacar' sebenarnya sudah pun wujud. Orang sudah tahu 'bapacar' atu sebagai salah satu cara untuk berhias. Tidak terkecuali juga bagi masyarakat Melayu, durang menggunakan 'pacar' sebagai salah satu cara berhias. Dan termasuk menjadikannya sebagai salah satu acara di dlm adat perkahwinan orang Melayu, samada bagi pengantin lelaki ataupun pengantin perempuan. Walaubagaimanapun ia tdk lah bertentangan dgn hukum agama Islam selagimana kitani ndamempercayai sesuatu darinya dan tdk membawa kpd syirik maka ia tdk lah mengapa kerana ia hanya merupakan suatu adat bagi perkahwinan orang kitani.

Bagi perempuan, hukum berinai atau 'bapacar' itu adakalanya sunat, adakalanya makruh, dan bahkan adakalanya haram. Perbezaan hukum ini nampak apabila dirujuk kepada keadaan serta status perempuan itu sama ada bersuami atau tdk. Selain itu, berbalik jua kepada tujuan tani berinai atau bapacar atu.

Bagaimana pula bagi lelaki, terutama bagi mereka yang menjadi 'raja sehari'? Apakah hukum 'bapacar' bagi pengantin lelaki?

Adapun berinai atau 'bapacar' dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai atau 'bapacar' ialah hadits sahih yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

"Daripada Anas dia berkata: "Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang kaum lelaki memakai za'faran (kuma-kuma).
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za'faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yg mengeluarkan warna serta berbau harum.

Dilarang memakai za'faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yg harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za'faran dari segi mengeluarkan warna dan bau.

Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu di dalamnya unsur2 menyerupai atau meniru2 cara kaum wanita berhias. Haram hukumnya perbuatan meniru2 atau menyerupai antara lelaki dan perempuan sebagaimana ditegaskan di dalam sebuah hadits sahih:

Daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu Anhuma beliau berkata: "Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat kaum lelaki yg menyerupai atau meniru2 kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau meniru-niru kaum lelaki. (Hadis riwayat Bukhari).

Bagaimanapun jika sekiranya lelaki itu berinai atau 'bapacar' kerana ada keuzuran iaitu keperluan atau hajat untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidaklah dimakruhkan ke atasnya utk berinai.

Tersebut di dlm hadits yg diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

Daripada Salma khadam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dia berkata: "Tidak mengadu kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam seseorang tentang sakit di kepala melainkan Baginda menyuruh orang itu supaya berbekam, dan tidak mengadu kepadanya seseorang tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda menyuruhnya supaya berinai. (Hadis riwayat Abu Daud).

Merujuk kepada apa yg berlaku sekarang ani di tengah masyarakat tani, perbuatan berinai atau 'bapacar' bagi lelaki masih wujud walaupun ada di antaranya telah mengetahui tentang hukumnya, khasnya kepada pengantin lelaki pada majlis malam 'bapacar'. Berinai atau 'bapacar' bagi pengantin lelaki hukumnya tetap dilarang. Pengecualian daripada hukum tersebut hanya terbatas kepada keadaan jika ada keuzuran sahaja, iaitu bagi tujuan berubat, sebagaimana disebutkan diatas.

Secara umumnya berinai atau 'bapacar' bagi pengantin lelaki pada tangan dan kaki hanya merupakan adat semata-mata, tidak ada disyariatkan di dalam Islam.

Adapun hukum berpacar berbentuk ukiran tanpa tujuan malah menyerupai seperti kaum lain juga adalah dilarang, sebagaimana Baginda Rasulullah pernah bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud).

Berinai yang sunat:
Berinai ketika hendak melakukan ihram bagi perempuan sama ada perempuan tua atau yang muda, yang bersuami atau yang tidak bersuami (janda atau belum berkahwin) hukumnya adalah sunat. Begitu juga sunat bagi perempuan yang bersuami berinai walaupun dia tidak bermaksud untuk berihram.

Berinai yang makruh:
Berinai bagi perempuan yang tidak bersuami dan ia tidak bermaksud untuk berihram hukumnya adalah makruh.

Berinai yang haram:
Berinai dengan cara yg tidak dibenarkan oleh syarak, seperti berinai dengan warna hitam hukumnya adalah haram. Begitu juga haram berinai bagi perempuan yang berkabung kerana kematian suami.

Manakala berinai dengan membuat ukiran di tangan adalah seperti berikut:
Berinai yang disunatkan bagi perempuan yang bersuami yang ingin melakukan ihram atau tidak dan perempuan yang tidak bersuami yang ingin melakukan ihram ialah dengan cara menginai seluruh tangan hingga pergelangannya dan disunatkan juga menyapu sedikit inai pada mukanya.

Adapun berinai dengan membuat ukiran di tangan pula, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ada menyebutkan perkara ini di dalam kitabnya, Tuhfah al-Muhtaj ‘ala Syarh al-Minhaj, katanya:

“Dan tidak disunatkan baginya (perempuan yang bersuami yang tidak melakukan ihram) berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi isteri yang tidak mendapat keizinan suaminya.”

Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa hukum berinai dengan membuat ukiran bukanlah cara yang disunatkan, bahkan perbuatan itu haram dilakukan bagi perempuan yang tidak bersuami dan juga bagi perempuan yang sudah berkahwin yang tidak mendapat keizinan suaminya. Namun jika suami mengizinkannya, makruh jika isteri melakukan yang sedemikian itu.

Selain daripada membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi juga merupakan cara berinai yang tidak dibenarkan oleh syarak. Walau bagaimanapun menurut Ibnu Rif‘ah Rahimahullah, apa yang dimaksudkan dengan berinai di hujung2 jari yang diharamkan itu adalah menginai hujung2 jari dgn inai yg berwarna merah dan dicampur dengan yang berwarna hitam. Jika menginainya hanya dengan inai yang berwarna merah, maka yang sedemikian adalah dibolehkan. Begitu juga dibolehkan ukiran yang dibuat dengan inai (warna merah) sahaja menurut Ibn Qasim al- ‘Abbadi Rahimahullah.

Jadi kesimpulan nya disini ialah kita lihat apakah tujuan nya memakai atau menggunakan nya. Jika ia bertujuan semata2 utk saja2 iaitu tanpa tujuan maka hukumnya adalah haram.

Wallahu a'lam...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...