Peristiwa Hijrah sejarah agung
Peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan sejarah agung yang telah membawa perubahan kepada kehidupan umat Islam pada ketika itu kepada kehidupan yang lebih bertamadun dan sempurna.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah membuktikan melalui hijrah agung Baginda dengan meninggalkan Kota Mekah menuju ke Kota Madinah semata-mata mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala untuk menegakkan agama Islam. Hijrah Baginda telah membawa perubahan yang besar kepada kebangkitan dan perkembangan agama Islam.
Dengan hijrahnya Baginda, maka umat Islam di Madinah semakin ramai dan akhirnya menjadi umat yang teguh dan bersatu padu dari segi keimanan dan persaudaraan. Dan yang lebih ketara lagi agama Islam semakin pesat dan berkembang maju. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 218, tafsir-Nya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih."
Jika kita imbas kembali sejarah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam peristiwa hijrah, kita setentunya terharu kerana kita mendapati perjuangan tersebut bukan calang-calang perjuangan di mana perjuangan tersebut dipenuhi dengan rintangan dan cubaan. Antaranya kisah apabila pada suatu hari orang-orang kafir Quraish telah membuat keputusan untuk membunuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Lalu pada satu malam mereka pun mengepung rumah Baginda. Pada malam itu, Baginda menerima wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkannya untuk berhijrah. Untuk memperdayakan mereka, Baginda telah menyuruh Sayidina Ali bin Abu Talib tidur di tempat peraduannya. Setelah itu, Baginda pun keluar dari rumahnya bersama Sayidina Abu Bakar As-Siddiq secara senyap-senyap dan terus menuju ke Jabal Thur lalu bersembunyi di gua tersebut, keberangkatan mereka tidak diketahui oleh pemuda- pemuda Quraisy.
Pemuda-pemuda Quraisy yang tidak menyedari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah keluar rumah, mengintai-intai dan mengintip dari celah-celah bilik tidur Baginda. Mereka merasa yakin bahawa itulah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi alangkah terkejutnya mereka apabila melihat Sayidina Ali bin Abu Talib keluar berdiri di depan mereka dan bukannya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Betapa kesal dan marahnya pemuda-pemuda Quraisy apabila rancangan mereka tidak berjaya.
Lalu mereka terus pergi mencari Baginda di merata tempat namun tetap juga tidak juga mendatangkan apa-apa hasil, sehinggalah sampai ke Jabal Thur lalu menghampiri gua tersebut. Perasaan cemas dan takut telah menyelubungi Sayidina Abu Bakar tetapi Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menenangkannya dan tidak gementar dengan menyatakan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa bersama mereka berdua.
Sesudah puas mencari, pemuda-pemuda Quraisy itu pun berlalu pergi. Antara mereka bertanya kepada yang lain, kenapa tidak diperiksa ke dalam gua itu, mereka menjawab bahawa di pintu gua itu terdapat sarang labah-labah di mana sarang tersebut menandakan tidak ada orang di dalamnya dan mereka pun terus berlalu dari situ.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq bersembunyi di dalam Gua Thur selama tiga malam. Tidak ada yang tahu akan keadaan dan tempat mereka bersembunyi selain daripada putera dan puteri Sayidina Abu Bakar iaitu Abdullah, 'Aisyah dan Asma. Merekalah yang menghantar makanan setiap malam dan mengkhabarkan tentang keadaan di kota. Pada malam yang ketiga, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan sahabatnya Sayidina Abu Bakar As-Siddiq telah berangkat menuju ke Quba lalu bermalam di situ selama tiga atau empat hari. Kesempatan yang singkat itu, Baginda pergunakan untuk membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Quba. Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan menuju ke Kota Madinah. Baginda sampai di Madinah yang ketika itu bergelar Yathrib pada hari Jumaat. Pada hari itulah diadakan Sembahyang Jumaat yang pertama dalam sejarah Islam dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menjadi imam dan khatib di hadapan kaum Muhajirin dan Ansar. Mulai pada hari itu juga nama Yathrib ditukar menjadi Madinah.
Begitulah cerita di sebalik peristiwa hijrah tersebut, oleh itu penghayatannya adalah sesuatu yang dikehendaki dan dituntut dalam Islam kerana di dalamnya ada iktibar dan pengajaran yang bermanfaat.
Walaupun hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak akan berlaku lagi di zaman ini, tetapi konsep dan falsafah hijrah tetap berterusan dan tidak akan berakhir sehingga Hari Kiamat, di mana kita dituntut untuk melakukan hijrah iaitu membuat perubahan dari sifat atau perbuatan yang tidak baik kepada yang baik.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda di dalam sebuah hadis, maksudnya:
"Dari Muawiyyah Radiallahuanhu ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Hijrah itu tidak akan terhenti sehinggalah tertutupnya peluang taubat dan peluang taubat itu tidak akan tertutup sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya." (Riwayat Al Imam Abu Dawud).
Perkara ini pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijriah 1432, antara petikannya: "Hijrah turut membawa perubahan, sedang perubahan pula tiada penghujungnya. Hari ini kita berubah dan esok juga mahu masih berubah bahkan sampai bila-bila pun, kita tetap ingin berubah. Inilah dia naluri terhadap perubahan itu. Pendeknya, perubahan adalah daya tarikan yang luar biasa. Namun kita orang-orang Islam bukanlah setakat ingin berubah, tetapi perubahan itu hendaklah kepada yang lebih baik. Inilah dasar yang kita pakai bukan asal berubah semata-mata, tetapi perubahan bermatlamatkan kepada yang lebih baik. Agama Islam memang mendorong perubahan. Ia tidak mahu kita menunggu perubahan tetapi menggalakkan untuk berlumba merebut perubahan."
Dari titah tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa hasrat baginda yang menginginkan masyarakat di negara ini agar berhijrah menjadi rakyat yang benar-benar berubah ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.
Maka bersempena kita meraikan awal tahun Hijrah ini marilah kita bertekad dan berazam dalam berusaha untuk merealisasikan hasrat baginda itu yang mengajak kita ke arah perubahan yang positif bukan sahaja di masa akan datang bahkan sampai bila-bila untuk menjadi insan yang terbaik dan berkualiti. Oleh itu, hayatilah pengajaran-pengajaran yang diperolehi daripada peristiwa hijrah itu demi untuk mendapatkan kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan di Akhirat.
No comments:
Post a Comment